MURID-MURID DARJAH 6 MENJALANI PEPERIKSAAN PSRA DI BULAN PENUH KEBERKATAN

Monday, September 22, 2008

22 SEPTEMBER 2008, Hari ini merupakan hari pertama murid-murid Darjah 6 menjalani peperiksaan PSRA. Rasa berdebar-debar perasaan hati semua calon PSRA SRA Ibnu Rusyd PJ ( SRAIR ) terutama guru-guru yang mengajar mereka. Maklum... peperiksaan ini merupakan peperiksaan yang amat penting kepada semua murid-murid dan guru-guru darjah 6 SRAIR. Bagi murid Darjah 6 ianya merupakan peperiksaan akhir yang akan menentukan halatuju mereka sama ada dapat meneruskan pelajaran ke Sekolah Agama Menengah atau sebaliknya.

Pada tahun ini calon peperiksaan PSRA berjumlah 58 orang sahaja. Walaupun jumlahnya sedikit, pihak sekolah berharap dengan bilangan yang sedikit ini pihak sekolah dapat mencapai kecemerlangan sama seperti sekolah-sekolah lain juga. Jika keputusan peperiksaan mereka mendapat keputusan yang cemerlang ( Mumtaz ) Insyaallah mereka akan ditawarkan untuk memasuki Sekolah Agama Menengah ( SABK ) Jabatan Agama Islam Selangor. Selain daripada itu jika keputusan PSRA Mumtaz dan UPSR 5A, mereka akan ditawarkan untuk memasuki SAM Bestari JAIS, Subang Jaya atau Ma'ahad Integrasi Tahfiz Istana Bandar ( MITIB ), Kg. Bandar, Kuala Langat.

Pada hari peperiksaan dijalankan, sebelah paginya murid-murid Darjah 6 diwajibkan menghadiri kelas Intensif untuk menambahkan persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan PSRA. Murid-murid akan dibimbing oleh guru-guru untuk mengulangkaji pelajaran serta membincangkan solan-soalan target yang dijangka keluar dalam peperiksaan serta teknik menjawab soalan dengan yang betul. Semoga semua calon peperiksaan PSRA memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PSRA tahun ini. Aminn..

GURU-GURU SRA IBNU RUSYD TERIMA DUIT RAYA

20 SEPTEMBER 2008, Satu Majlis ringkas penyerahan sumbangan Duit Raya kepada guru-guru SRA Ibnu Rusyd PJ (SRAIR) telah diadakan di Bilik Guru SRAIR. Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan kerajaan negeri Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Taman Medan. Pada majlis ini ADUN Kawasan Taman Medan, YB Puan Haniza Bt. Mohamed Talha telah hadir ke SRAIR untuk menyerahkan sumbangan tersebut.

Pada majlis ini semua guru dan kakitangan SRAIR telah hadir untuk menerima sumbangan Duit Raya tersebut. Perkara ini merupakan pertama kali guru-guru menerima sumbangan Duit Raya daripada pihak YB ADUN. Bagi pihak sekolah, kami amat menghargai sumbangan yang diberikan.

Semoga dengan sumbangan yang diberikan secara tidak langsung memberikan sedikit kegembiraan kepada guru-guru SRAIR dalam menyambut 'Aidilfitri yang bakal menjelang, selain menunjukkan keperihatinan YB ADUN kepada guru-guru di kawasan Taman Medan. Harapan guru-guru dan pihak sekolah agar sumbangan ini dapat diteruskan untuk masa akan datang.