GURU BESAR SRA IBNU RUSYD BERPINDAH KE SRAITAF BATU BELAH

Sunday, November 30, 2008


30 NOV 2008, Setelah lebih kurang 9 tahun menabur bakti di SRA Ibnu Rusyd Petaling Jaya, Ustaz Samuri Zan Guru Besar SRA Ibnu Rusyd Petaling Jaya telah diarah bertukar ke SRAI Tengku Ampuan Fatimah Batu Belah, Klang. Pertukaran berkuatkuasa mulai 1 DIS 2008.

Walaupun berat rasa hati untuk melepaskan beliau berpindah, tapi demi tugas dan tanggungjawab yg telah diamanahkan, perpindahan beliau ke SRAITAF Batu Belah diiringi dengan doa semoga Ustaz Samuri Zan suksess di tempat baru yg lebih mencabar dan hebat dugaannya.

Insyaallah didoakan semoga diberi kekuatan dan kecekalan hati agar terus mencurahkan bakti untuk agama dan bangsa. Amin.

Labels:

JAMUAN MURID AKHIR TAHUN 2008 MERIAH

Tuesday, November 11, 2008


11 NOV 2008 (Selasa), Program jamuan Akhir Tahun murid-murid SRA Ibnu Rusyd Petaling Jaya berlangsung dengan meriah. Semua kelas dengan usaha guru, ibu bapa dan murid-murid telah bekerjasama untuk mengadakan majlis jamuan tersebut. Alhamdulillah pada tahun ini majlis jamuan tersebut telah dapat dilaksanakan seperti kebiasaannya.

Jamuan akhir tahun ini telah menjadi acara tahunan SRA Ibnu Rusyd Petaling Jaya. Setiap akhir tahun semua kelas akan mengadakan majlis jamuan tersebut. Majlis ini diadakan bagi meraikan dan tanda kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas keselamatan dan kesejahteraan sepanjang satu tahun persekolahan.

Pada awal tahun murid-murid akan mengadakan kutipan yuran kelas bagi membeli alatan keperluan kelas yang tidak dibekalkan, di samping untuk mengindah dan menceriakan kelas masing-masing. Selain daripada itu, dengan kutipan yuran tersebut juga akan digunakan untuk mengadakan majlis jamuan akhir tahun kelas masing-masing.

Alhamdulillah, pada tahun ini majlis jamuan dapat dilaksanakan seperti kebiasaannya. Setiap kelas berusaha menyediakan jamuan yang berbagai menu mengikut kemampuan kelas masing-masing, dari kelas Darjah Satu hinggalah ke kelas Darjah Enam. Bihun dan mee sudah menjadi juadah kebiasaan. Nasi ayam, beriani dan makaroni lazat tidak terperi. Kek, burger, nasi lemak pastinya enak. Bubur jagung, pizza dan KFC juga tidak ketinggalan. Guru masing-masing kekenyangan sampai tak larat nak berjalan. Semoga majlis yang dianjurkan dapat mencapai matlamat yang dihajatkan. Jumpa lagi tahun hadapan... Insyaallah.

MURID-MURID DARJAH 6 MENJALANI PEPERIKSAAN PSRA DI BULAN PENUH KEBERKATAN

Monday, September 22, 2008

22 SEPTEMBER 2008, Hari ini merupakan hari pertama murid-murid Darjah 6 menjalani peperiksaan PSRA. Rasa berdebar-debar perasaan hati semua calon PSRA SRA Ibnu Rusyd PJ ( SRAIR ) terutama guru-guru yang mengajar mereka. Maklum... peperiksaan ini merupakan peperiksaan yang amat penting kepada semua murid-murid dan guru-guru darjah 6 SRAIR. Bagi murid Darjah 6 ianya merupakan peperiksaan akhir yang akan menentukan halatuju mereka sama ada dapat meneruskan pelajaran ke Sekolah Agama Menengah atau sebaliknya.

Pada tahun ini calon peperiksaan PSRA berjumlah 58 orang sahaja. Walaupun jumlahnya sedikit, pihak sekolah berharap dengan bilangan yang sedikit ini pihak sekolah dapat mencapai kecemerlangan sama seperti sekolah-sekolah lain juga. Jika keputusan peperiksaan mereka mendapat keputusan yang cemerlang ( Mumtaz ) Insyaallah mereka akan ditawarkan untuk memasuki Sekolah Agama Menengah ( SABK ) Jabatan Agama Islam Selangor. Selain daripada itu jika keputusan PSRA Mumtaz dan UPSR 5A, mereka akan ditawarkan untuk memasuki SAM Bestari JAIS, Subang Jaya atau Ma'ahad Integrasi Tahfiz Istana Bandar ( MITIB ), Kg. Bandar, Kuala Langat.

Pada hari peperiksaan dijalankan, sebelah paginya murid-murid Darjah 6 diwajibkan menghadiri kelas Intensif untuk menambahkan persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan PSRA. Murid-murid akan dibimbing oleh guru-guru untuk mengulangkaji pelajaran serta membincangkan solan-soalan target yang dijangka keluar dalam peperiksaan serta teknik menjawab soalan dengan yang betul. Semoga semua calon peperiksaan PSRA memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PSRA tahun ini. Aminn..

GURU-GURU SRA IBNU RUSYD TERIMA DUIT RAYA

20 SEPTEMBER 2008, Satu Majlis ringkas penyerahan sumbangan Duit Raya kepada guru-guru SRA Ibnu Rusyd PJ (SRAIR) telah diadakan di Bilik Guru SRAIR. Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan kerajaan negeri Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Taman Medan. Pada majlis ini ADUN Kawasan Taman Medan, YB Puan Haniza Bt. Mohamed Talha telah hadir ke SRAIR untuk menyerahkan sumbangan tersebut.

Pada majlis ini semua guru dan kakitangan SRAIR telah hadir untuk menerima sumbangan Duit Raya tersebut. Perkara ini merupakan pertama kali guru-guru menerima sumbangan Duit Raya daripada pihak YB ADUN. Bagi pihak sekolah, kami amat menghargai sumbangan yang diberikan.

Semoga dengan sumbangan yang diberikan secara tidak langsung memberikan sedikit kegembiraan kepada guru-guru SRAIR dalam menyambut 'Aidilfitri yang bakal menjelang, selain menunjukkan keperihatinan YB ADUN kepada guru-guru di kawasan Taman Medan. Harapan guru-guru dan pihak sekolah agar sumbangan ini dapat diteruskan untuk masa akan datang.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMPENA TADARRUS BULAN RAMADHAN

Thursday, September 18, 2008

19 September 2008. Biro Hal Ehwal Murid dgn. kerjasama Biro Kurikulum SRA Ibnu Rusyd PJ telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Prograom Tadarrus Al-Quran murid-murid dan guru sepanjang sesi persekolahan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Majlis Khatam Al-Quran telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Hazelaihi Bin Abdullah, Imam Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun yg. juga merupakan guru SRA Ibnu Rusyd PJ.

Majlis telah diadakan di dewan sekolah yang melibatkan murid-murid Darjah 4, 5 dan 6 yang telah dipilih serta guru yang terlibat dengan kelas yang tersebut. Murid-murid lain turut serta dalam majlis tersebut dengan mendengar dan mengikuti majlis tersebut di kelas masing-masing. Majlis tersebut diadakan mengikut sesi persekolahan sesi pagi dan petang.

Majlis ini adalah amat bermakna kepada semua guru dan murid-murid di sekolah ini kerana sememangnya amalan Bertadarus Al-Quran adalah amat digalakkan di bulan Ramadhan. Sehubungan dengan itu pihak sekolah telah mengambil inisiatif dengan mengadakan program Tadarrus ini setiap hari pada waktu pertama sesi pengajaran berlangsung. Semua kelas dan guru-guru telah diagihkan 1 juzuk dari Al-Quran untuk dibaca secara Tadarrus di kelas masing-masing. Alhamduliiah pada hari ini semua guru dan murid telah berjaya menyelesaikan bacaan Juzuk Al-Quran yang telah diagihkan tersebut.

Di akhir majlis, murid-murid yang terlibat dengan Majlis Khatam Al-Quran telah diberikan sedikit cenderahati sebagai kenang-kenangan. Selain daripada itu, untuk murid yang lain pihak sekolah telah mengagihkan buah kurma kepada semua murid-murid SRA Ibnu Rusyd PJ. Cenderahati dan buah kurma adalah sumbangan dari ibu bapa/ penjaga murid, juga individu yang bermurah hati untuk memberikan sumbangan sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

Semoga sumbangan yang diberikan akan diberikan ganjaran yang selayaknya oleh Allah SWT.

Harapan pihak Sekolah dengan adanya majllis ini murid-murid Darjah 6 yang terlibat apabila telah menamatkan pelajaran di SRA Ibnu Rusyd PJ dapat meneruskan aktiviti Tadarrus ini serta mengimarahkan masjid dan surau-surau terutama ketika bulan Ramadhan Al-Mubarak.

HARI KELUARGA GURU DI GEM BEARCH RESORT, TERENGGANU MERAKAM KENANGAN MANIS

Saturday, August 16, 2008

GEM Bearch Resort, Terengganu Darul Iman. 16-18/8/2008. Guru-guru dan Kakitangan SRA Ibnu Rusyd Kawasan Melayu PJ telah mengikuti Program Perkembangan Staff dan Lawatan ke Negeri Terengganu Darul Iman dan Kelantan Darul Naim. Program ini disertai oleh guru-guru, kakitangan dan ahli keluarga serta AJK PIBG SRA Ibnu Rusyd PJ.

Tujuan program diadakan adalah untuk mendedahkan guru dan kakitangan SRA Ibnu Rusyd PJ tentang peranan guru sebagai pendidik dan Murabbi dan kepentingan bekerja sebagai satu pasukan. Program ini telah diadakan dengan menggabungkan aktiviti yang berbentuk Hari Keluarga, Slot Motivasi Guru dan kakitangan dan Lawatan sambil melihat keindahan alam ciptaan Allah SWT. Adalah diharapkan dengan program ini secara tidak langsung guru-guru dan kakitangan dapat mengenali antara ahli keluarga masing-masing seterusnya dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Program di GEM Bearch Resort bermula Jam 0545 petang. Walaupun perjalanan seawal Jam 0800 pagi dari Petaling Jaya amat meletihkan, namun semua peserta tidak menjadikan alasan keletihan untuk turun mengikuti aktiviti pada petang itu. Cuaca petang itu tidak berapa mengizinkan, aktiviti petang hanya sempat berjalan untuk 2 acara sahaja, iaitu acara untuk anak-anak berumur 5 tahun dan anak-anak sekolah rendah sahaja. Sedang anak-anak bersemangat bertanding, hujan telah turun... semua peserta telah berteduh dalam wakaf di tepi pantai secara beramai-ramai. Tak sangka juga. Wakaf yang nampak kecil itu boleh memuatkan semua orang yang jumlahnya lebih kurang 43 orang.
Malamnya acara Ta'aruf dan sambung acara tepi pantai yang tak selesai. Acara susun puzzle untuk orang dewasa lelaki dan perempuan. Rupanya tak kurang bersemangat dan bersungguhnya mereka bila disuruh susun puzzle yang biasanya dibuat oleh anak-anak umur 5 atau 6 tahun. Tahniah kepada yang menang.

Pada keesokan harinya, Ahad..guru-guru berpeluang bertemu dengan Sutradara terkenal tanah air iaitu Saudara Aziz M. Osman. Dapatlah peluang bergambar dengan artis. Masing-masing rasa teruja. Maklum dapat jumpa live dengan sutradara terkenal. Katanya baru kahwin ... bercuti di Terengganu.

Lawatan di Terengganu ke Pantai Batu Buruk, Masjid terapung Tengku Tengah Zaharah, Pasar Payang dan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man. Di Pasar Payang guru-guru tidak melepaskan peluang shopping barang-barang tenunan.. kain batik sutera, songket dan ada yang dah beli keropok leko. Rasa macam tak cukup masa yang diberikan 2 jam untuk shopping. Yang tak dapat nak shopping tu, window shppingpun jadilah.

Hari Isnin, bertolak Ke Kelantan, melawat Negeri Cik Siti Wan Kembang. Singgah di Pulau Melaka, melawat rumah kediaman Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Alhamdulillah ketika rombongan berada di kediaman Tuan Guru, kami sempat berjumpa dengan Tuan Guru, baru balik dari Kuala Lumpur (selesai Mu'tamar PAS). Selepas itu rombongan ke Kota Bharu, singgah Solat di Masjid Muhammadi, kemudian melawat Istana Balai Besar dan shopping di Pasar Besar Siti Khadijah.

Sebelum balik ke Kuala Lumpur, rombongan singgah di Rantau Panjang... Zon Bebas Cukai di sempadan Malaysia - Thailand. Sambung lagi shopping... barang-barang dapur, tikar lipat, barangan kulit, kain baju dan lain-lain. Selepas selesai di Rantau Panjang, rombongan bertolak balik melalui Pasir Mas, Gua Musang melalui Lebuhraya Gua Musang - Merapoh. Alhamdulillah... sampai di Kawasan Melayu PJ pukul 0400 pagi. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang turut serta dalam rombongan dan atas kerjasama baik yang diberikan oleh semua pihak. Semoga program yang sebegini akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang.




MAJLIS BACAAN YASSIN DAN SOLAT HAJAT MOHON RESTU YG. MAHA ESA UNTUK KECEMERLANGAN PSRA 2008

Wednesday, August 13, 2008

13 ogos 2008, Biro Kurikulm SRA Ibnu Rusyd PJ ( SRAIR ) telah mengadakan majlis bacaan Yassin dan Solat Hajat untuk murid-murid Darjah 6 yang akan menduduki peperiksaan PSRA 2008. Peperiksaan PSRA ini akan diadakan pada 22 - 25 SEPTEMBER 2008, iaitu ketika bulan Ramadhan Al-Mubarak. Majlis diadakan di Dewan SRAIR.

Majlis ini telah dihadiri oleh murid-murid Darjah bersama ibu dan bapa mereka, guru-guru dan AJK PIBG. Majlis ini telah dipimpin oelh Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz PJ iaitu Al-Fadhil Ustaz Alfian Izaz. Majlis bermula jam 7.00 mlm dengan kehadiran guru-guru, AJK PIBG, ibu bapa dan murid-murid. Majlis dimuali dengan solat Maghrib berjamaah, membaca Yassin, Solat Isyak dan Solat Hajat memohon doa daripada Allah SWT agar murid-murid yang akan menduduki peperiksaan PSRA memperoleh keputusan yang cemerlang, bukan sahaja cemerlang dalam PSRA tetapi juga cemerlang dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Di akhir majlis, semua murid Darjah 6 telah diberikan air mineral yang telah dibacakan Yassin dan didoakan. Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam. Pihak Sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir, juga kepada YDP PIBG serta AJK PIBG yang sudi hadir. Pihak Sekolah juga mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu bapa dan individu yang telah manyumbangkan kewangan untuk majlis ini. Semoga semua murid-murid Darjah 6 SRAIR akan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PSRA tahun ini. Aminn..

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ SRAIRPJ 2008

Wednesday, July 30, 2008

30/7/1008(Rabu), Biro HEM SRA Ibnu Rusyd Petaling Jaya ( SRAIR ) telah mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj bagi memperingati dan menghayati kepentingannya dalam sejarah Islam. Pada tahun ini pihak sekolah telah mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj dengan mengadakan majlis ceramah dan kuiz Israk dan Mikraj.

Ceramah tersebut diadakan di padang perhimpunan SRAIR. Majlis diadakan mengikut sesi persekolahan, iaitu pagi sesi pagi dan petang, pada sesi petang. Penceramah untuk majlis tersebut ialah sesi pagi Ustaz Zulkefli Bin Zainuddin, Penyelia Pagi SRAIR, manakala sesi petang Ustaz Samuri Zan B. Sarjimin, Guru Besar SRAIR.

Pada keseluruhannya majlis ini telah berlangsung dengan jayanya di mana setelah selesai ceramah, diadakan kuiz untuk mengetahui sejauh mana perhatian dan ingatan murid terhadap ceramah yang disampaikan. Murid yang berjaya menjawab soalan diberikan hadiah sebagai penghargaan dari pihak sekolah.

LATIHAN MENYELAMAT DAN DEMONTRASI MEMADAM API CAPAI MATLAMAT

Wednesday, July 16, 2008

17 JULAI 2008- Biro Hal Ehwal Murid, SRA Ibnu Rusyd PJ telah mengadakan latihan menyelamatkan diri dan pengosongan bangunan sekolah.

Program ini telah mendapat kerjasama yang amat baik dari pihak bomba dan juga RT Kawasan Melayu.


Bermula Jam 0900 pagi Loceng kecemasan telah dibunyikan. Semua murid diarah keluar dari bangunan sekolah dan menuju keluar ke jalan di hadapan sekolah untuk menyelamatkan diri. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Tiada kekecohan atau kemalangan diri berlaku semasa latihan dijalankan.

Pihak Bomba dari Balai Bomba Petaling Jaya telah menghantar satu jentera Bomba untuk tujuan memadamkan kebakaran tersebut. Murid-murid diberi peluang secara dekat untuk melihat dan meninjau jentera bomba yang digunakan. Murid-murid dan guru-guru juga diberikan taklimat tentang kemudahan-kemudahan yang ada pada jentera Bomba tersebut.

Pada program tersebut juga pihak Bomba telah memberikan ceramah tentang langkah-langkah yang perlu dan sepatutnya dilakukan apabila berlaku kebakaran. Pihak Bomba juga membuat demontrasi bagaimana mengunakan alat pemadam api yang, betul.

Semasa demontrasi tersebut, guru-guru diberi peluang untuk mencuba dan menggunakan alat pemadam api.

Pada keseluruhannya program tersebut berjaya memberi input yang berguna kepada semua guru dan murid-murid, terutama guru-guru perempuan yang sering terdedah dengan api ketika berada di rumah ( memasak di dapur ). Semoga program in i memberikan manfaat yang baik kepada semua.

GURU-GURU DARJAH 6 HADIRI SEMINAR PSRA

Wednesday, July 2, 2008

2 Julai 2008, bertempat di SRA Seksyen 3, Shah Alam, Pusat Kegiatan Guru (JAIS) Daerah Petaling dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam Daerah Petaling telah menganjurkan Seminar peperiksaan PSRA bagi guru-guru Darjah 6 SRA/ SRAI, KAFA Integrasi, SRI dan Sekolah Islam Swasta.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pengukuhan kepada semua guru Darjah 6 tentang teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan dengan berkesan. Penceramah yang terlibat dalam memberikan ceramah dan berkongsi pandangan antaranya Us. Maskor Bin Jemenin (Penyelia Kanan Naziran, Petaling), Us. Mahmud B. Buang (Guru Besar SRA Kg. Medan PJ), Us. Ismail B. Intas Ali (PK1 SRA Bt. 13 Puchong), Uz. Norhidayati, Uz. Norlida Bt. Hashim dan lain-lain.

Seminar berakhir pada Jam 4.00 petang dengan perasmian penutup oleh Al-Fadhil Us. Roslan Bin Samsuri ,Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah (Unit Pendidikan) Petaling. Terima kasih diucapkan kepada semua AJK yang terlibat menjayakan program ini.

5 MURID SRA IBNU RUSYD PJ SERTAI KURSUS KECEMERLANGAN PSRA ANJURAN LZS

Thursday, June 26, 2008

Pusat Zakat Selangor telah menganjurkan satu Program Kursus Kecemerlangan Peperiksaan PSRA pada 20 hingga 22 JUN 2008 ( Jumaat - Ahad ) , bertempat di Akademi Zakat Selangor ( PULAZ ) Wisma Mais , Selangor Darul Ehsan . Program motivasi ini diadakan khas untuk anak - anak asnaf fakir miskin Negeri Selangor yang akan menduduki peperiksaan PSRA.

Pihak SRA Ibnu Rusyd PJ telah menghantar seramai 5 orang peserta murid darjah 6 iaitu Ainatul Syuhada bt. Jamaluddin , Mira Hanisah bt. Hamdan , Muhammad Ismail b. Adham Khalid , Muhammad Khairul Nizuan b. Abdullah , Muharramal Luqmanal Hakim.

Tujuan program diadakan antaranya adalah untuk menilai kekuatan dan kelemahan individu dan seterusnya membentuk personaliti murid yang cemerlang dan mampu berhijrah ke arah jalan yang jauh lebih baik. Selain daripada itu , peserta dapat membina sifat positif dalam diri setiap individu agar dapat menerapkan nilai moral serta agama dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap kerjaya.

Adalah diharapkan di akhir program murid - murid yang terlibat dapat membina jatidiri dan berazam untuk mengamalkan apa yang diajar semoga mereka dapat membela keluarganya di masa hadapan.Syabas dan tahniah diucapkan kepada murid yang terlibat dalam program tersebut.

Labels:

TIGA ORANG GURU KAFA UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA SRA IBNU RUSYD PJ

Sunday, June 22, 2008

Bulan JUN 2008 merupakan satu bulan yang agak menyedihkan buat warga SRA Ibnu Rusyd (SRAIR). Ini kerana 3 orang guru SRAIR akan mengucapkan "Selamat Tinggal kepada SRAIR". Guru-guru tersebut ialah Ustz. Roshidah Binti Mahmuddin, Guru Kelas 1 Syafie Ptg, Ustz. Noor Emilia Diana Binti Sulaiman, Guru Kelas Darjah 4 Syafie Ptg dan Ustz. Siti Amirah Binti Mohamed Pauzy, Guru Kelas Darjah 3 Syafie Pg. Ustz. Roshidah meletak jawatan sebagai guru KAFA kerana ingin menumpukan perhatian kepada keluarga, manakala Ustz. Noor Emilia Diana dan Ustz. Siti Amirah akan melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Pihak Sekolah telah mengadakan majlis ringkas untuk meraikan guru-guru tersebut pada hari Sabtu yang lepas, 21 JUN 2008 (Sabtu) sempena Program Motivasi Guru dan Majlis Dialog Guru dan PIBG. Walaupun majlis yang diadakan agak ringkas, namun ia amat bermakna kepada ketiga-tiga orang guru tersebut. Ustz. Roshidah mula berkhidmat di SRAIR mulai tahun 2001, manakala Ustz. Siti Amira dan Noor Emilia Diana mula bertugas pada awal tahun 2008 ini.

Pada majlis tersebut , pihak Badan Kebajikan Guru SRAIR telah memberikan sedikit cenderahati kepada guru-guru tersebut. Pihak sekolah berharap dan bordoa semoga guru-guru tersebut akan berjaya dalam bidang yang diceburi selepas ini. Semoga SRAIR tetap dalam ingatan...

Labels:

HARI TERBUKA DAN TANDATANGAN 'REPORT KAD"

Saturday, June 21, 2008

SRA Ibnu Rusyd PJ telah mengadakan Hari Terbuka dan menandatangani Kad Kemajuan Murid bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2008 pada Hari Rabu, 18 JUN 2008. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi ruang kepada semua Ibu bapa/ Penjaga murid SRA Ibnu Rusyd (SRAIR) untuk berjumpa dengan guru kelas anak-anak mereka dan bertanyakan tentang perkembangan semasa anak-anak mereka. Dengan cara ini secara tidak langsung ibu bapa/ penjaga dapat bertemu muka dan mengenali guru-guru kelas anak mereka seterusnya dapat merapatkan silaturrahim antara ibu bapa dan guru.

Tujuan pihak sekolah mengadakan program tersebut adalah supaya ibu bapa/ penjaga dapat sama-sama memainkan peranan membantu pihak sekolah dalam mendidik anak meraka. Ibu bapa boleh memberikan komen dan pandangan yang membina untuk kebaikan bersama. Selaian daripada itu ibu bapa/ penjaga boleh berbincang dengan guru kelas tentang permasalahan yang timbul berkaitan dengan anak mereka. Ibu bapa juga dibenarkan untuk membawa pulang anak mereka setelah selesai sesi bertemu dengan guru kelas.

Sambutan yang diberikan oleh ibu bapa terhadap program tersebut adalah amat baik. Ada yang ibu bapa/ penjaga telah hadir awal semata-mata untuk berjumpa dengan guru kelas anak mereka. Terdapat juga ibu bapa/ penjaga yang tidak dapat hadir ke program tersebut, kemungkinan atas faktor kerja atau sebagainya. Pada keseluruhannya program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya. Untuk masa akan datang, pihak Sekolah mengaharapkan agar semua ibu bapa/ penjaga dapat hadir dan memberikan sokongan terhadap program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Labels: